PAGES

Friday, December 1, 2017

LUKISAN DAN NOVEL

Pakaian tradisi pengantin masyarakat Minang
ZIARAH MUZIUM RUMAH KELAHIRAN BUYA HAMKA

Ketika habis sessi menziarahi Muzium rumah kelahiran Prof. Dr. H. Abdul Malik Karim Amrullah, pemilik nama pena HAMKA, di Danau Maninjau, Sumatera Barat, kini sudah tiba masanya untuk rombongan kami pulang.

Sebelum kami berangkat pulang sempat saya di situ membeli senaskah novel klasik hasil karangan beliau berjudul Merantau Ke Deli, untuk dijadikan kenang-kenangan datang ke sini menziarahi rumah dan kampung halamannya.

Sambil itu, semasa dalam perjalanan pulang saya dari rumah Buya Hamka sempat juga saya singgah untuk membeli sebuah lukisan. Hasrat di hati, ingin sekali menghiasi dinding rumah dengan sebuah lukisan dari cat minyak yang dibeli di sini. Indahnya untuk dijadikan satu tanda kenangan buat diingati, buat saya dan juga keluarga.

KEMBALI KE TANAH AIR

Seminggu selepas pulang dari ziarah rumah kelahiran Buya HAMKA, rasa puas hati saya, sementara isteri saya nampaknya ada sedikit perubahan, dia nampak mula minat membaca novel karya HAMKA yang dibeli oleh saya di sana baru-baru ini.

Hampir setiap malam dia melayan dengan penuh semangat dengan duduk menyendiri membaca novel tersebut, fikir hati saya, “pasti hebat karya beliau, kalau tidak masakan setiap malam tidak lepas dia dengan novel Pak HAMKA”.

Setelah beberapa hari melihat akan dia, isteriku yang bersikap asyik melayan novel sastera klasik Merantu Ke Deli, terasa di hati saya kesunyian oleh sebab tidak dilayan berbual bersama seperti kebiasaannya.

Novel Merantau Ke Deli, koleksi saya

NOVEL SASTERA KLASIK MERANTAU KE DELI

Pada satu malam saya pun bertanya, “ novel sastera klasik ini mengisahkan apa, apa yang menarik tentang ceritanya?”Dia, isteri saya, seperti tak berminat untuk diajak berbual dan hanya berkata, “boleh laa”, katanya.

Jawapan dari isteri saya agak mengecewakan saya. Besok malamnya saya cuba bertanyakan lagi dengan soalan yang sama tentang novel yang dibacanya.

“Hanya tinggal 3 page lagi untuk dihabiskan, lepas ini abang boleh baca sendiri, tak perlu nak tanya-tanya saya lagi.” Dia memberitahu saya sebelum sempat saya bertanya, 

Sambung isteri saya lagi, “ masyarakat mereka terlalu mengikuti adat, percayakan adat sehingga melebihi kemurnian agama itu sendiri, akhirnya tak kemana, habis macam itu saja malah merugikan semua, itu yang dibenci HAMKA dalam karyanya” ulas isteri saya.

EMOSI DARI NOVEL MERANTAU KE DELI

Akhirnya saya meneruskan pembacaan novel tersebut.
Sungguh indah sekali bahasa novel ini sehinggakan saya mampu menyelami perasaan seorang wanita melalui watak yang bernama Poniem.

Watak Poniem yang digarap HAMKA, seorang isteri yang sentiasa ada bersama suaminya, Leman tatkala susah dan senang, jatuh berdiri dan jerit payah menempuhi alam perniagaan. 

Mereka bermula dari bawah. Dan sampai suatu ketika, Poniem sanggup berhabis gadai harta-hartanya yang ada sampailah tinggal hanya sepasang subang untuk menaikkan kembali semangat Leman dan yang paling penting moralnya untuk meneruskan kehidupan. Tapi sayangnya.. 

Untuk ringkasan selanjutnya, klik di sini.

KECEWA DENGAN PILIHAN LUKISAN YANG DI BELI

Rasa benci kerana apa yang ditulis Hamka ini ternyata memang berlaku di alam realiti - Berbalik kepada kisah inilah, hasrat saya untuk menghiasi ruang rumah dengan lukisan kenangan dengan gambar sebuah rumah adat Minangkabau yang dibeli terus terpadam dan dilupakan begitu lama.

No comments: