PAGES

Friday, December 8, 2017

LUKISAN DAN IDEA MENULIS

Burung Bangau Terbang Bebas
Saya masih lagi terinspirasi dengan lukisan yang saya beli 5 tahun yang lalu di Sumatera Barat. Bila tiba waktu malam lukisan tersebut akan bersama menemani saya berada di ruang tamu rumah, di mana pada waktu itulah masa untuk saya membebaskan diri dari tekanan kehidupan di kota metropolitan ini, selalunya saya akan menghadap komputer dan membelek sumber-sumber maklumat dari dunia maya tentang perkara-perkara yang terkait dengan minat dan kecenderungan diri saya.


Lukisan kenangan yang ada di dinding rumah fikir saya tidak cukup sekadar itu, saya selalu merenung dan cuba mengimbas kembali detik-detik perjalanan hidup saya sehingga satu hari terdetiknya hasrat untuk menziarahi rumah kelahiran Buya Hamka dan berakhir sampai ke detik lukisan ini. Renungan itu membuatkan saya mula bercita-cita untuk menyambung kisah perjalanan ini dengan cuba untuk menuliskan detik-detik perjalanan yang telah saya dilalui.

Membina Impian Hari Tua

Salah satu minat yang saya impikan dan cuba bina untuk mengisi hari tua nanti jika Allah izinkan dengan usia yang panjang ialah menjadi seorang penulis. Bukan mahu mencari nama atau keuntungan pelaburaan dan wang ringgit tetapi lebih kepada memuaskankan diri sendiri dengan menggunakan masa yang diberi dan mengisi hari-hari yang dilalui.

Apa yang lebih penting sekarang ini pada saya ialah mengisi masa atau usia yang sudah pun terhad ini dengan manfaat yang menjurus terutama sekali kepada menjaga kesihatan dan keduanya ialah sumbangan yang boleh diberikan kepada masyarakat, dengan harapan kebaikkan yang diberikan dipandang disisi Tuhan. Titik kepada semua tindakkan dan usaha yang dibuat sebenarnya diharapkan menghasilkan dakwah yang baik bagi membantu generasi yang akan menggantikan kita pada suatu hari nanti.

Saya juga sangat mengharapkan sahabat-sahabat yang membaca penulisan saya ini dapat menegur saya dengan memberikan komen-komen yang mampu membina dan melahirkan saya untuk menjadi seorang penulis yang lebih baik dari masa ke semasa. Saya amat yakin dengan adanya komen-komen dan kritikan yang positif, potensi kemahiran menulis dapat dibina dengan lebih baik dan cepat.

Memperoleh Banyak Manfaat

Sebenarnya banyak sekali manfaat yang boleh kita perolehi dari aktiviti menulis ini dan saya sudah mulai merasakan faedah-faedah darinya. Kesanggupan untuk melawan perasaan malu kerana khuatir dikatakan orang kurang cerdik. Disamping itu, kemampuan yang tidak dimiliki oleh saya dalam memguasai bahasa merupakan antara batu penghalang paling besar untuk memulakannya.

Bagi saya, sebenarnya tidaklah ada jalan yang mudah untuk apa sekali pun kejayaan melainkan usaha dan kerja yang keras untuknya, bak kata perpatah, mana mungkin akan kita beroleh sagunya kalau tidak ruyongnya dipecahkan dahulu.

Memang banyak yang boleh diperolehi dari aktiviti penulisan, kepada yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut, cubalah anda membuat carian sendiri di google dan anda akan menemukannya. Semoga anda juga akan timbul minat untuk menulis setelah mendapat maklumat dan mengetahui tentang banyaknya manfaat, dan bukan hanya sekadar menjadi  pembaca atau penonton malah memulakan langkah pertama untuk menjadi seorang penulis.

 Ada tiga manfaat menjadi seorang penulis yang saya rasa cukuplah sekadar untuk saya kongsikan di sini:

  1. Boleh Menulis

Sebahagian besar dari kita tidak boleh menulis. Kebanyakan kita lebih suka menjadi pembaca atau sekadar penonton. Mereka akan mudah memberi alasan dengan mengatakan saya tidak mempunyai bakat untuk menulis, tidak seperti saudara yang dikurniakan dengan semua itu. Sebenarnya inilah yang ada pada sikap dan pemikiran saya yang dulu, alasan mudah untuk tidak mahu mengubah diri untuk membina potensi diri supaya menjadi seorang yang lebih baik.

Jalan yang saya ambil untuk menyelesaikan masalah ini sebenarnya amat mudah sekali, iaitu mengalahkan semuanya sekaligus dengan melakukannya walaupun ia nampaknya sangat hodoh dan tidak layak adanya.

Walau bagaimanapun, apa yang saya lalui dari masa ke semasa sudah tentu kualiti penulisan saya akan bertambah menjadi lebih baik seandainya berterusan berlatih tanpa jemu, memang benarlah kata-kata mereka yang dulu pernah pada awal melaluinya di mana penulisan semasa mereka tidaklah sebaik penulis buku, penulis atau wartawan, tetapi yakinlah bahawa jika anda terus menulis dan menulis, suatu masa nanti anda akan memiliki kemampuan sama dengan kebolehan mereka.

  2. Mengurangkan Stress

Menulis juga sebagaimana melukis, di mana, luahan seperti menulis tentang sesuatu yang membuatkan kita marah, sedih atau menyakitkan dapat membantu mengurangkan kesan perasaan buruk itu. Apabila kita menulis sesuatu perkara yang buruk di dalam penulisan kita, ternyata keadaan itu mampu membuatkan perasaan kita lebih baik dan senyap, tidak tergangu serta mampu menjadi lebih seimbang. Keadaan ini ternyata dapat membantu mengurangkan pengaruh negatif dan perkara-perkara buruk.

  3. Menggerakkan Fungsi Otak Dengan Lebih Berkesan

Kebiasaannya kita menggunakan fungsi otak kiri untuk membantu kita dalam melakukan analisis sesuatu isu atau bahan yang ingin ditulis, tetapi kadangkalanya jawapan kepada penyelesaian masalah selalunya ditemui melalui kreativiti dari fungsi otak kanan, maka ternyata dengan aktiviti menulis, keupayaan ini dapat diaktifkan, sehinggakan dapat pula saya menyelesaikan beberapa masalah yang belum terungkai kusut sebelum ini dengan akhirnya dapat diselesaikan    
                                                   
                                                       *  *  *  *  *
Apa lagi yang ada dalam kehidupan ini andai hidup hanya menuju mati, Justeru apa lagi yang ditunggu kalau tidak kita segerakan menyemai benih yang baik agar tumbuh menjadi sepohon pokok yang rendang dan mampu menghasilkan buah dan boleh dinikmati dari mereka yang ramai, begitulah sifat sebiji benih, perlu disemai dan dijaga, inshallah pasti tumbuh.

Anda bagaimana??

No comments: