PAGES

Saturday, November 25, 2017

PENGALAMAN BELI LUKISAN

Lukisan Pertama Saya
Pengalaman Beli Lukisan

Semasa di kedai lukisan, ada 3 buah lukisan yang menarik minat saya, lama juga masa yang di ambil untuk membuat pilihan, yang mana satukah lukisan yang hendak saya beli:



1. Lukisan gambar sebuah kapal dilambung ombak, seakan gambaran novel Tenggelamnya Kapal van der Wijck karya Pak Hamka


2. Lukisan sebuah takungan air semacam kolam di tengah hutan belantara sambil ada beberapa binatang, harimau, sang kancil dan serangga menumpang minum di situ.

3. Lukisan yang di atas, yang dibeli

Lama saya duduk berfikir hingga fikiran saya jadi serabut, pada masa itu tidaklah sedikit pun diri ini ada sebarang pengetahuan mengenai seni lukisan, ia meletihkan otak saya untuk merumuskan jawapan di sebabkan oleh tidak adanya data yang berkaitan di dalam simpanannya, otak jadi letih.

Lumrah kehidupan, yang akan menambahkan lagi letih tentulah soal duit, bukan berkira, tetapi perlu berfikir untuk digunakan ke jalan yang baik. 

Saya menganggap harganya begitu mahal, dalam hati merasakan seperti mahu ditipu oleh penjual tersebut. Ada satu saat saya seakan malas lagi mahu berfikir, saya hampir-hampir kepada keputusan membatalkan hasrat untuk membeli kerana mula merasakan ia satu tindakkan pembaziran yang tidak sepatutnya.

Saya memberitahu isteri saya untuk meneruskan perbincangan dan saya cuba bersendirian melihat lukisan-lukisan di sekitar ruang kedai sambil cuba mencari jawapan. Memang sukar untuk membuat keputusan di dalam keadaan buta dan tidak mengerti apa-apa.

Tujuan Beli Lukisan

Ketika hati saya agak tenang, ingatan saya kembali kepada tujuan sebenar kedatangan saya ke sini, iaitu menziarahi rumah kelahiran Pak Hamka. Hati saya rasa resah saat itu kerana belum ada lagi apa-apa yang saya miliki sebagai kenangan datang ke sini, entah bila saya akan datang kesini lagi sudah tentu tidak pasti, resahnya di hati saya seperti seakan mahu saya tinggalkan seorang kekasih tanpa selendang sebagai tanda kenangan. 

Saya fikir, mungkin cukuplah sebuah lukisan untuk dijadikan sebagai tanda kenang kenangan. Dan, sedikit wang ringgit yang dikorbankan tidaklah menjadi permasalahan atau halangan. Saya berjaya memujuk hati saya.

Ciri-Ciri Lukisan Pilihan Saya

Saya kembali menuju kepada perbincangan bersama isteri dan penjual. "Bagaimana pak, mahu yang mana?".

"Waduhh!", kata saya.

Dalam usaha saya untuk cuba menjawab pertanyaan penjual, tiba-tiba saja dari jiwa yang sudah mula tenang itu, otak kembali mengalir fungsi. 

Lukisan 2

Saya pun mula berbicara kepada penjual. Gambar yang merujuk kepada binatang buas dan belantara saya keluarkan daripada senarai pemilihan. Saya fikir agak kurang sesuai untuk diletakkan di dalam rumah walaupun makna lukisan tersebut cukup hebat.

Penjual cuba menafsirkan secara ringkas tentang lukisan tersebut kepada saya, katanya, manusia perlu melihat dengan kebijaksanaan dan belajar dari haiwan ciptaan Tuhan yang dilihat mempunyai kelebihan dan kelemahan masing-masing, pada setiap binatang itu pula ada sejata tersendiri yang akan digunakan untuk mempertahankan dirinya dari serangan musuh.

Besarnya kekuasaan sang pencipta dengan ciptaan tersendiri walaupun sama tapi tak serupa namun yang bernama makluk tetap terpaksa berkongsi rezeki yang sama, iaitu air.

Begitu juga yang ada atas kejadian manusia, diciptakan manusia dengan kelebihan tersendiri, walaupun tidak diberikan kekuatan untuk membolehkan manusia berlawan dengan sang belang, namun manusia diberikan akal fikiran yang boleh digunakan untuk berfikir dan menciptakan, lalu manusia menciptakan senapang sebagai perisai.

Tidak ada kelebihan akal fikiran ini kepada lain makluk hatta kejadian malaikat.


Lukisan Dan Kenangan
Lukisan 3

Sepanjang perjalanan saya di sini, beginilah pandangan yang saya tatapi setiap hari, rumah adat masyarakat Minangkabau, alur-alur sungai yang jernih, kehijauan pohon-pohon kayu, suasana yang alami dan pertanian yang masih kekal tradisi.

Permainan warna, ketelitian melukis dan di antara semua pengaruh-pengaruh yang terdapat pada lukisan itu, pengaruh rumah di dalam lukisan itulah sendiri yang memberikan jawapan kepada keputusan untuk saya memilihnya. Kata hati saya," bukankah saya baru balik dari rumah kelahirannya Pak Hamka".

5 Tahun Berlalu

Hampir 5 tahun berlalu, lukisan tersebut telah dijumpai di dalam stor rumah saya setelah hilang langsung dari ingatan sejak ia dibeli.

Hari ini saya berasa sungguh berterimakasih dan penuh syukur kepada Tuhan atas kurniaaNya, sebuah lukisan sebagai tanda kenangan, buat saya mengingati sebahagian perjalanan hidup saya. 

Saya begitu kagum dengan pelukisnya, yang mampu menghasilkan lukisan cat minyak dengan penataan cahaya yang hidup dan keunikan kilauan warna yang indah dan damai.

Ketika saya duduk di malam hari dengan hanya bertemankan lampu sorot lukisan dinding, keluarlah cahaya yang cukup indah di hujung jalan dari belakang dua orang penduduk yang sedang berjalan menyimbahi kehidupan. Hari ini, sedarlah saya, betapa lukisan ini tidaklah setanding dengan harga yang dibeli.

Teringatlah saya akan penjual lukisan tersebut yang saya yakini beliaulah pelukisnya, kata-katanya, sesungguhnya saya telah terhutang budi kepada beliau, terima kasih kerana mendidik saya terutama dalam menilai sebuah karya.. moga beliau dilindungi dan dirahmati Tuhan.

Kepada pencinta seni yang mahu menjijakkan kaki anda ke sana, pastikan satu lukisan dibeli untuk dijadikan kenang-kenangan hidup.

No comments: