PAGES

Thursday, January 18, 2018

ANUGERAH CINTA-SIRI 1


1. CINTA

Definasi
Cinta adalah sebuah emosi yang lahir dari perasaan kasih sayang terhadap sesuatu. Falsafah mengatakan cinta adalah sifat yang paling baik yang mewarisi semua kebaikan, rasa belas dan kasih. Cinta dari sudut tindakan pula perlukan pengorbanan diri, mengikuti, mematuhi dan bersedia melakukan apa saja demi yang dicintai.
Contohnya seorang lelaki yang sukakan kekasihnya seorang perempuan dan begitu juga sebaliknya. Cinta bermakna suka kepada sesuatu objek yang boleh disentuh dan ada yang tidak.
Cinta yang tidak boleh disentuh itu seperti menyintai pencipta kehidupan dan alam semesta. Manusia bermula dulunya mencipta objek seperti patung, lukisan, laut, matahari dan selainnya untuk dicintai dan disembah. Mereka tahu objek yang mereka adakan itu bukanlah tuhan sebenarnya melainkan katanya itu dewa-dewa yang cuba disentuh dengan jiwa dan mereka mempercayai kepada semangat atau kuasa tertentu yang akan memberi kebaikan dalam kehidupan mereka.

Pengalaman Cinta
Semua orang di dunia ini pastinya pernah merasai yang namanya cinta. Mungkin datangnya berbeza seperti menyintai Tuhan, menyintai kedua ibubapa, menyintai teman, menyintai teman sejenis atau lawan jenis. Cinta yang pastinya tidak boleh dilihat dengan mata namun boleh dirasakan dengan hati. Yang jelas cinta boleh membuat orang rasa bahagia tetapi banyak juga yang mendatangkan perasaan benci malah ada setengahnya mengakibatkan malapetaka yang besar seperti yang kita biasa dengar manusia bunuh diri kerana putus cinta dengan kekasihnya. 

2. KESAN PUTUS CINTA

Putus Cinta
Saya juga ada pengalaman dan episod cinta tersendiri semasa masih bujang. Soal menyintai seseorang yang bernama lelaki dan perempuan. Proses ini selalunya berlaku secara semulajadi atau dengan melalui sedikit usaha. Lumrahnya cinta akan menghasilkan cita-cita yang sungguh murni dan rasa bahagia untuk kedua-duanya hidup bersama sebagai pasangan suami isteri.

Masyarakat umum melihat kisah permasalahan cinta sebagai perkara remeh, kebudak-budakan serta tidak matang, malah ada sesetengahnya memandang serong. Tetapi kepada mereka yang pernah atau sedang melalui episod putus cinta mengakui kesakitan psikologi yang terpaksa ditanggung begitu berat.

Kesan putus cinta sungguh mendalam sehingga boleh melumpuhkan diri mengakibatkan kita tiada daya, putus asa dan tiada upaya berdepan dengan realiti. Tempoh pemulihan kesan daripada putus cinta tidaklah dapat dijangkakan berapa lama, ada yang tak mampu pulih dan akhirnya tak kahwin-kahwin hingga akhir hayat.

Seingat saya dulu apabila saya putus cinta dan punah cita-cita untuk berkahwin dengan seorang yang dicintai, apa yang berlaku:

Tak Boleh Tidur
Ketika peristiwa ini baru saja berlaku, ya!! saya tak tidur walaupun untuk terlelap seminit selama tiga hari. Saya masa itu masih muda sekitar awal 20an. Apalah yang saya tahu melainkan melalui perhubungan yang suci dan merasakan bahagia, selebihnya pelajaran dari itu tidaklah saya mengerti.

Semasa di dalam bilik bersama doktor di sebuah klinik, saya berterus terang menceritakan keadaan saya. Doktor hanya diam mendengar setiap patah perkataan yang di sampaikan, raut wajah beliau seorang lelaki yang agak berumur ketika itu menunjukkan sedih dan amat risau. Apakah mungkin doktor juga pernah melalui detik itu cuma keadaan dan caranya mungkin berbeza.

Doktor hanya diam dan tak banyak bercakap malah langsung tidak bertanya soalan, beliau berikan saya dua biji tablet untuk makan bila sudah berada di rumah dan melarang memandu selepas itu. Seingat saya doktor kata, saya sudah termakan makanan yang beracun dan racun tersebut sudah menjalar ke seluruh darah di dalam tubuh saya, bersabarlah dan banyaklah berdoa dan satu hari nanti racun itu akan hilang sendirinya.

Kesihatan Terjejas
Kesal dan kecewa, memendam rasa, marah, api kebencian serta sakit hati akhirnya membawa kepada kesihatan yang mula semakin hari semakin membawa kepada kemerosotan. Orang lain mungkin mudah memberi nasihat dan membuat percaturan malah mudah mengatakan jangan kamu terlalu ikutkan hati, tetapi makanan beracun yang sudah dimakan terlalu susah untuk dirawat apabila racunnya sudahpun larut di dalam darah tubuh mangsanya. Berat sakitnya, mungkin seberat mangsa penagih dadah jenis heroin.

Beban dari emosi yang tergangu membuatkan saya susah untuk tidur di waktu malam dan sudah tentu sukar pula untuk bangun di waktu awal pagi dan akhirnya belarutan sehingga memudaratkan pula tubuh badan. Fizikal badan saya menjadi lemah dan tidak sihat malah sukar untuk mula bangun membina kembali kesegaran dan tenaga, kerana emosi saya yang sudah sakit. Keadaan ini akan lebih parah lagi khususnya kepada kaum lelaki apabila mereka mula mengambil minuman keras dan dadah sebagai jalan penyelesaian.

Kerjaya Terjejas
Masa terus berlalu sementara kehidupan pula perlu diteruskan. Prestasi saya di tempat kerja mula merosot sehingga merudum teruk dengan tidak datang bekerja selama hampir sebulan tanpa sebarang alasan. Akhirnya kedatangan saya ke tempat kerja disambut dengan sepucuk surat tunjuk sebab yang sudah pun lama menanti kedatangan saya. Saya digantung kerja selama 2 minggu dengan ditetapkan tarikh perbicaraan.

Alhamdulillah, saya masih lagi diberi peluang oleh syarikat untuk bekerja dengan syarat dipindahkan ke jabatan baru. Walaupun masih mampu menyambung sesuap nasi, jiwa saya masih lagi sakit, bisa yang larut di dalam darah mengalir ke otak, kusutnya hanya Tuhan yang tahu, hidup sudah dirasakan tidak bermakna lagi.

3. Kerisauan

Teringat Anak-Anak
Hari ini saya sudah mulai sedikit memahami dan turut merasa risau melihat terutamanya anak-anak saya yang kini sudah meningkat remaja, bimbang saya kalau-kalau mereka termakan makanan yang beracun. Walau apapun tidaklah saya ada kuasa dan daya untuk membendung semua itu melainkan berdoa agar anak-anak dibimbing oleh kuasaNya ke jalan kejayaan dan menjadi manusia yang berguna kepada masyarakat.

Anak-anak kecil mungkin tidak mengerti panasnya api walaupun berkali kali dilarang bermain dengannya sehinggalah percikan api menyentuh kulitnya. Perkataan kadang-kadang tak mampu sepenuhnya memahamkan kita melainkan setelah kita melaluinya dengan pengalaman.

Ada satu malam di kaca TV dimainkan filem Titanic, saya ketika itu melayan anak lelaki saya yang berumur 6 tahun. Saya memujuk dia untuk menonton cerita ini sebabnya anak saya belum pernah menontonnya, saya fikir ini peluang terbaik untuk dia melihat khayalan hidup. Ternyata dia sungguh menikmati filem tersebut.

Anak saya belum mahu tidur lalu saya tinggalkannya kerana bosan sebab sudah berulang kali dimainkan di tv dan masuk ke bilik sebelah untuk rehat dan tidur sambil memerhatinya melalui satu tingkap kecil.

Tidak berapa lama kemudian, dari satu sudut yang anak saya tidak perasan saya melihat air matanya bercucuran. Dia begitu sedih melihat Jack, hero dalam cerita tersebut mati setelah berjuang menyelamatkan kekasihnya yang sudah lemah dan hampir mati ketika menunggu anggota penyelamat sampai untuk memberikan bantuan setelah kapal yang mereka naiki karam di lautan akibat terlanggar gunung ais.


Saat melihat peristiwa itu terfikir saya akan dia bila menjadi dewasa kelak dan apa yang bakal dia tempuhi, hanya dengan Tuhan saja saya sangatlah bermohon semoga dia dijauhi makanan yang beracun.


Saya berhenti di sini dahulu kerana ini ialah penulisan blog bukan novel, ikutilah artikel seterusnya
Terima kasih kerana membaca dan memberikan komen-komen yang membina dan cukup bermakna, jazakallah.

No comments: