PAGES

Sunday, January 28, 2018

ANUGERAH CINTA -SIRI 2


JIWA YANG SAKIT
                     
Dunia mungkin terkejut mendengar saya membunuh diri kerana terlalu sedih di atas kematian ibu saya, tetapi tidaklah akan terkejut rasanya mendengar saya bunuh diri disebabkan putus cinta dengan kekasih yang saya cintai. Justeru yang minta mati sebab kecewa dalam cinta bukan saya seorang, malah ramai sekali

Ada ketikanya bila duduk keseorangan fikiran saya dibawa begitu jauh sehingga hilang kewarasan. Contohnya bila terdengar dari siaran radio lagu-lagu cinta yang dimainkan dengan melodi yang merayu-rayu dalam kekecewaan, seperti, “ Oh, Tuhanku kau cabutlah nyawaku”, antara senikata lagu yang akan mendorong saya kepada hilangnya kewarasan akal, fikir saya untuk mati itu lebih baik kerana hidup saya rasakan sudah tidak bermakna lagi dan saya terlalu sakit menanggungnya azab.

Di sebabkan terlalu sedih saya mengalami tekanan perasaan dan emosi saya terganggu, Saya pada masa itu menjadi manusia yang murung dan tiada semangat untuk meneruskan kehidupan. Kehidupan yang dilalui saya rasakan begitu sunyi dan kosong. Hubungan sosial terutamanya bersama kawan-kawan mula menjauh malah rasa benci dan mual untuk bersama mereka di sebabkan sikap mereka yang tak habis-habis dengan memberi nasihat.

Akibat jiwa dipandu oleh perasaan semata-mata lebih lagi jiwa yang sakit, akhirnya saya mengalami ganguan jiwa yang parah sehingga melakukan perkara-perkara yang mengatasi kewarasan akal fikiran yang normal. 

HILANG KEWARASAN

1.Tidur Tengah Padang
Saya masih ingat, malam itu begitu sunyi kerana ramai yang meninggalkan rumah untuk pulang ke kampung sempena cuti Tahun Baru Cina. Ketika itu saya duduk di kerusi luar rumah hanya bertemankan cahaya bulan. Kelihatan di langit berjuta bintang bertaburan cukup indah, angin bertiup lembut dengan pohon bergoyang goyang. Suasana malam yang dingin begitu memang buatkan badan yang letih boleh kembali segar .

Bila badan rasa segar saya pun mula bangun dari duduk lalu perlahan-lahan berjalan melangkah keluar dari kawasan rumah menuju tanpa arah tujuan hanya berjalan-jalan sambil melayan hembusan angin malam yang menyegarkan. Semasa berjalan sesekali mata saya mendongak ke langit melihat keindahan cahaya bulan dan kerlipan bintang .

Ada sebuah padang bolasepak awam yang jaraknya hampir satu kilometer dari rumah saya. Saya berjalan hingga ke sana. Apabila saya sampai di kawasan padang tersebut, terus saya berjalan menuju ke tengah-tengah padang dan duduk di sana. Angin saat itu masih berhembus segar, bulan dan bintang masih tetap setia menemani. Agak lama juga saya duduk di situ asyik melayan keindahan langit hingga terasa lenguhlah pula leher kerana banyak mendongak melihat ke atas. Akhirnya jaket yang dipakai saya buka dan buat hamparan untuk baring.  Dengan beralaskan jaket, saya rasa lebih selesa berbaring untuk melihat keindahan langit. Tak puas-puas saya merenung bulan, berbagai imaginasi lahir dari fikiran seperti seseorang yang melihat sebuah lukisan.

Disebabkan banyak berfikir dan berimaginasi, akhirnya mata terlelap, saya tertidur di tengah padang, Alhamdulillah waktu itu tidak ada apa yang berlaku cuma ada satu dua ekor semut masuk dalam seluar. Semasa berjalan pulang kedengaran suara azan tanda masuknya waktu solat subuh.
  
Hari ini segalanya sudah luput dalam ingatan cuma satu hal yang masih lagi saya ingat walaupun waktu itu saya hilang kewarasan dan terlalu emosi. Halnya dalam fikiran saya ketika itu, saya fikir tidak ada kebahagian walaupun kenyataannya bulan dan bintang yang berkelipan di langit terlihat begitu indah sekali, sementara segala kerumitan masalah kecewa putus cinta yang ditanggung saya tidak dapat dilihat di mana tempat duduknya di langit, terlalu remeh dan langit itu terlalu luas, mungkin tiada hujungnya.

2.Ke Masjid Tengah Malam
Habis cerita tidur tengah padang, selepas sebulan berlalu ada satu lagi tindakan yang saya lakukan hasil dari emosi yang tertekan dan hilang kewarasan, tetapi yang ini agak positif.

Pada malam kejadian tersebut, entah mengapa perasaan rindu tiba-tiba datang mencengkam di hati, saya rasa seperti tiada akhirnya melainkan semakin terseksa. Peluang untuk bertemu atau berbual di telefon sudah tidak ada lagi, sudah berakhir. Pada waktu itu di dalam hati saya tiba-tiba saja datang satu perasaan menyucuk rasa dendam bagai api dalam sekam kerana si dia mencurangi kesucian cinta ini bersama orang lain di saat sudah hampir hidup bahagia bersama.

Saya hilang kewarasan dan memutuskan untuk membalas dendam. Si dia perlu diberi pegajaran atas perbuatannya yang tidak memikirkan perasaan orang lain.

“Tuhankan ada”, bisik hati seterusnya dengan lembut. Di saat itu saya mula rasa keliru, fikiran menjadi kusut, rasa seperti mahu saja saya ketuk kepala ini di dinding biar pecah berderai.

Saya bukanlah seorang yang pandai dalam soal agama cuma sedikit faham hanya dari ikut-ikutan di dalam masyarakat dan didikan ibubapa, entah betul entah tidak tidaklah pasti tetapi cukup hanya sekadar layak untuk saya masuk ke dalam syurga kerana saya percaya bahwa adanya Tuhan yang maha berkuasa.

Akhirnya jiwa saya yang kusut lumpuh dan rebah, tidak ada jalan lain lagi untuk hidup melainkan segala usaha perlu disandarkan kepada Tuhan yang maha berkuasa.

Saya seterusnya segera bangun tinggalkan permainan minda untuk berusaha melakukan sesuatu tindakan. Apa yang saya fikirkan ialah, saya ingin sujud kepada Tuhan. Jam di dinding sudah menunjukkan hampir pukul satu pagi. Idea saya waktu itu ialah pergi ke masjid, mungkin dengan cara itu saya fikir lebih dekat denganNya.

Akhirnya saya sampai di depan masjid yang jaraknya hampir lima kilometer dari rumah dengan hanya berjalan kaki. Kelihatan suasana masjid begitu sunyi dan gelap, hanya ada satu lampu suram di depan bangunan pintu utama dan selebihnya cahaya dari lampu jalan.

Saya agak gugup berdiri di depan masjid bila melihat suasananya. Sepi dan suram malam mula mempengaruhi diri dan perasaan. Bermacam-macam cerita mula terkeluar dari fikiran saya tanpa mampu dibendung.

Dalam masyarakat melayu, sejak dari saya kecil sudah diceritakan di tempat-tempat tertentu ada orang yang menjaganya iaitu penunggu atau jin, cuma di masjid dikatakan jin Islam yang menjaganya.

Hakikatnya teori dan realiti adalah dua perkara yang berbeza. Bersendirian pada waktu lewat malam berhampiran kuburan dalam suasana yang sunyi  membuatkan akal fikiran tidak mampu mengawal perasaan takut. Deria Rasa Keenam (Sixth Sense) mula wujud pada tahap ini. Bunyi-bunyi pelik mula hadir, imaginasi dari pandangan dalam keadaan samar dan rasa diperhatikan oleh makluk-makluk Tuhan yang lain, yang diketahui dan tidak diketahui. Beranikah saya?

Lama saya berdiri depan pagar untuk masuk tetapi tak juga masuk. Berbagai persoalan timbul seperti, apa rasionalnya untuk buat semua ini. Saya cuba mencari alasan yang kuat tetapi nampaknya alasan yang diberikan lebih kepada percubaan menangguhkan cita-cita.

Terimakasih atas sokongan anda, nantikan siri seterusnya...

Thursday, January 18, 2018

ANUGERAH CINTA-SIRI 1


1. CINTA

Definasi
Cinta adalah sebuah emosi yang lahir dari perasaan kasih sayang terhadap sesuatu. Falsafah mengatakan cinta adalah sifat yang paling baik yang mewarisi semua kebaikan, rasa belas dan kasih. Cinta dari sudut tindakan pula perlukan pengorbanan diri, mengikuti, mematuhi dan bersedia melakukan apa saja demi yang dicintai.

Saturday, December 16, 2017

PELUKIS LAGENDA VINCENT VAN GOGH

The Starry Night
Vincent Willem Van Gogh, pelukis legenda yang terkenal adalah nama baru yang saya kenal bermulanya apabila saya mula menghargai kisah lukisan kenangan yang saya beli di Sumatera Barat hampir lima tahun lalu. 

Friday, December 8, 2017

LUKISAN DAN IDEA MENULIS

Burung Bangau Terbang Bebas
Saya masih lagi terinspirasi dengan lukisan yang saya beli 5 tahun yang lalu di Sumatera Barat. Bila tiba waktu malam lukisan tersebut akan bersama menemani saya berada di ruang tamu rumah, di mana pada waktu itulah masa untuk saya membebaskan diri dari tekanan kehidupan di kota metropolitan ini, selalunya saya akan menghadap komputer dan membelek sumber-sumber maklumat dari dunia maya tentang perkara-perkara yang terkait dengan minat dan kecenderungan diri saya.

Friday, December 1, 2017

LUKISAN DAN NOVEL

Pakaian tradisi pengantin masyarakat Minang
ZIARAH MUZIUM RUMAH KELAHIRAN BUYA HAMKA

Ketika habis sessi menziarahi Muzium rumah kelahiran Prof. Dr. H. Abdul Malik Karim Amrullah, pemilik nama pena HAMKA, di Danau Maninjau, Sumatera Barat, kini sudah tiba masanya untuk rombongan kami pulang.

Saturday, November 25, 2017

PENGALAMAN BELI LUKISAN

Lukisan Pertama Saya
Pengalaman Beli Lukisan

Semasa di kedai lukisan, ada 3 buah lukisan yang menarik minat saya, lama juga masa yang di ambil untuk membuat pilihan, yang mana satukah lukisan yang hendak saya beli:

Friday, November 17, 2017

LUKISAN SEBAGAI TANDA KENANGAN

Bunga Rumput
Manusia sebenarnya lebih awal melukis sebelum pandai untuk menulis. Lukisan-lukisan awal yang ditemui di gua-gua zaman prasejarah menunjukkan bagaimana manusia pada masa itu mengunakan lukisan untuk menceritakan sesuatu.

Saturday, November 11, 2017

JUMPA LUKISAN LAMA


Teh Tarik Tepian Pantai Tg Harapan
Operasi Bersihkan Stor

Satu hari saya mengemas bilik stor yang semak dan sudah lama tak terusik. saya lakukan ini sebab mula terasa bimbang akan masalah ancaman serangan serangga perosak seperti anai-anai, tikus, lipas dan sebagainya. Kalau di biarkan lama lagi kemungkinan ular pun boleh tumpang bersarang. 

Sunday, October 10, 2010

KETENANGAN

Apabila petang tiba , selepas waktu asar iaitu ketika panas matahari mulai reda, aku dan keluarga ada ketikanya terutama di musim cuti, akan menghabiskan sedikit masa untuk beriadah di kolam ikan peliharaan yang betul-betul terletak di belakang rumah bapak mertua ku, Desa Tasik Raban. 

 Kolam yang di maksudkan
Kawasan kolam ini agak luas dan di bina dipersekitaran tasik dengan memagari sekelilingnya mengunakan kaedah 'netting'. Terdapat berbagai spesis ikan peliharaan, antaranya ialah ikan talapia merah, patin, jelawat, lampan dan kap kepala besar dan juga ikan toman. Ikan toman pula tidak pernah di bela dan tidak pernah diundang dan menjadi ancaman paling besar kepada ikan peliharaan, entah datang dari mana.


Persekitaran Tasik Raban
Perbedaannya dengan laut ialah air tasik tiada menpunyai ombak dan gelora, ketenangan airnya teramat sangat lah tenangnya. Ketika waktu petang, pemandangan dan ragam warnanya amat lah menarik dan suasana alam begitu tenang, yang asasnya ialah ketenangan air dari Tasik Raban tersebut.


Ada ketikanya aku keluar berdayung dan memancing seorang diri, sebenarnya aku tidak lah bersendirian kerana aku ditemani oleh sekumpulan ikan talapia merah yang mengelilingi sampan kecil aku, ikan-ikan ini sentiasa menghampiri dekat dengan sampan, dengan harapan ditaburkan sedikit benih makanan untuk mereka.


Ketenangan air tasik, pemandangan kehijauan bukit bukau yang luas dan kemesraan  ikan di sekeliling sampan telah dengan sendirinya meruntun jiwa untuk bermuhasabah tentang kehidupan yang aku lalui. Tentang  keredhaanNya, tentang hubungan aku sesama manusia, tentang kesilapan yang telah aku lakukan dan sudah tentu tentang bagaimana mahu berjaya.


Jasa bapak mertua satu kejutan berlaku 
di majlis perkahwinan aku, para undangan 
telah dijamu dengan hidangan istimewa,
masakan ikan bakar talapia merah
Ketenangan dan keindahan tasik ini sentiasa dibantu oleh angin sepoi yang datang membawa udara baru untuk menyuburkan bumi dan memberi kehidupan. Angin itu juga datang bersama berisi peringatan kepada manusia yang mahu berfikir. Aku juga   dapat merasakan yang angin itu datang menyentuh dan menyelimuti tubuh aku dengan penuh nikmat belaian kasihNya.




Thursday, August 19, 2010

WARKAH DESA

Di Bukit Uhud
Keinginan untuk menulis dan atas keupayaan serta pengalaman dari sudut kekampungan, maka dengan ini di lancarkan warkan desa. Semoga apa yang diberi, ditulis atau dicurahkan memperoleh kebaikan.

Dengan bismillah saya melancarkannya.