PAGES

Sunday, January 28, 2018

ANUGERAH CINTA -SIRI 2


JIWA YANG SAKIT
                     
Dunia mungkin terkejut mendengar saya membunuh diri kerana terlalu sedih di atas kematian ibu saya, tetapi tidaklah akan terkejut rasanya mendengar saya bunuh diri disebabkan putus cinta dengan kekasih yang saya cintai. Justeru yang minta mati sebab kecewa dalam cinta bukan saya seorang, malah ramai sekali

Ada ketikanya bila duduk keseorangan fikiran saya dibawa begitu jauh sehingga hilang kewarasan. Contohnya bila terdengar dari siaran radio lagu-lagu cinta yang dimainkan dengan melodi yang merayu-rayu dalam kekecewaan, seperti, “ Oh, Tuhanku kau cabutlah nyawaku”, antara senikata lagu yang akan mendorong saya kepada hilangnya kewarasan akal, fikir saya untuk mati itu lebih baik kerana hidup saya rasakan sudah tidak bermakna lagi dan saya terlalu sakit menanggungnya azab.

Di sebabkan terlalu sedih saya mengalami tekanan perasaan dan emosi saya terganggu, Saya pada masa itu menjadi manusia yang murung dan tiada semangat untuk meneruskan kehidupan. Kehidupan yang dilalui saya rasakan begitu sunyi dan kosong. Hubungan sosial terutamanya bersama kawan-kawan mula menjauh malah rasa benci dan mual untuk bersama mereka di sebabkan sikap mereka yang tak habis-habis dengan memberi nasihat.

Akibat jiwa dipandu oleh perasaan semata-mata lebih lagi jiwa yang sakit, akhirnya saya mengalami ganguan jiwa yang parah sehingga melakukan perkara-perkara yang mengatasi kewarasan akal fikiran yang normal. 

HILANG KEWARASAN

1.Tidur Tengah Padang
Saya masih ingat, malam itu begitu sunyi kerana ramai yang meninggalkan rumah untuk pulang ke kampung sempena cuti Tahun Baru Cina. Ketika itu saya duduk di kerusi luar rumah hanya bertemankan cahaya bulan. Kelihatan di langit berjuta bintang bertaburan cukup indah, angin bertiup lembut dengan pohon bergoyang goyang. Suasana malam yang dingin begitu memang buatkan badan yang letih boleh kembali segar .

Bila badan rasa segar saya pun mula bangun dari duduk lalu perlahan-lahan berjalan melangkah keluar dari kawasan rumah menuju tanpa arah tujuan hanya berjalan-jalan sambil melayan hembusan angin malam yang menyegarkan. Semasa berjalan sesekali mata saya mendongak ke langit melihat keindahan cahaya bulan dan kerlipan bintang .

Ada sebuah padang bolasepak awam yang jaraknya hampir satu kilometer dari rumah saya. Saya berjalan hingga ke sana. Apabila saya sampai di kawasan padang tersebut, terus saya berjalan menuju ke tengah-tengah padang dan duduk di sana. Angin saat itu masih berhembus segar, bulan dan bintang masih tetap setia menemani. Agak lama juga saya duduk di situ asyik melayan keindahan langit hingga terasa lenguhlah pula leher kerana banyak mendongak melihat ke atas. Akhirnya jaket yang dipakai saya buka dan buat hamparan untuk baring.  Dengan beralaskan jaket, saya rasa lebih selesa berbaring untuk melihat keindahan langit. Tak puas-puas saya merenung bulan, berbagai imaginasi lahir dari fikiran seperti seseorang yang melihat sebuah lukisan.

Disebabkan banyak berfikir dan berimaginasi, akhirnya mata terlelap, saya tertidur di tengah padang, Alhamdulillah waktu itu tidak ada apa yang berlaku cuma ada satu dua ekor semut masuk dalam seluar. Semasa berjalan pulang kedengaran suara azan tanda masuknya waktu solat subuh.
  
Hari ini segalanya sudah luput dalam ingatan cuma satu hal yang masih lagi saya ingat walaupun waktu itu saya hilang kewarasan dan terlalu emosi. Halnya dalam fikiran saya ketika itu, saya fikir tidak ada kebahagian walaupun kenyataannya bulan dan bintang yang berkelipan di langit terlihat begitu indah sekali, sementara segala kerumitan masalah kecewa putus cinta yang ditanggung saya tidak dapat dilihat di mana tempat duduknya di langit, terlalu remeh dan langit itu terlalu luas, mungkin tiada hujungnya.

2.Ke Masjid Tengah Malam
Habis cerita tidur tengah padang, selepas sebulan berlalu ada satu lagi tindakan yang saya lakukan hasil dari emosi yang tertekan dan hilang kewarasan, tetapi yang ini agak positif.

Pada malam kejadian tersebut, entah mengapa perasaan rindu tiba-tiba datang mencengkam di hati, saya rasa seperti tiada akhirnya melainkan semakin terseksa. Peluang untuk bertemu atau berbual di telefon sudah tidak ada lagi, sudah berakhir. Pada waktu itu di dalam hati saya tiba-tiba saja datang satu perasaan menyucuk rasa dendam bagai api dalam sekam kerana si dia mencurangi kesucian cinta ini bersama orang lain di saat sudah hampir hidup bahagia bersama.

Saya hilang kewarasan dan memutuskan untuk membalas dendam. Si dia perlu diberi pegajaran atas perbuatannya yang tidak memikirkan perasaan orang lain.

“Tuhankan ada”, bisik hati seterusnya dengan lembut. Di saat itu saya mula rasa keliru, fikiran menjadi kusut, rasa seperti mahu saja saya ketuk kepala ini di dinding biar pecah berderai.

Saya bukanlah seorang yang pandai dalam soal agama cuma sedikit faham hanya dari ikut-ikutan di dalam masyarakat dan didikan ibubapa, entah betul entah tidak tidaklah pasti tetapi cukup hanya sekadar layak untuk saya masuk ke dalam syurga kerana saya percaya bahwa adanya Tuhan yang maha berkuasa.

Akhirnya jiwa saya yang kusut lumpuh dan rebah, tidak ada jalan lain lagi untuk hidup melainkan segala usaha perlu disandarkan kepada Tuhan yang maha berkuasa.

Saya seterusnya segera bangun tinggalkan permainan minda untuk berusaha melakukan sesuatu tindakan. Apa yang saya fikirkan ialah, saya ingin sujud kepada Tuhan. Jam di dinding sudah menunjukkan hampir pukul satu pagi. Idea saya waktu itu ialah pergi ke masjid, mungkin dengan cara itu saya fikir lebih dekat denganNya.

Akhirnya saya sampai di depan masjid yang jaraknya hampir lima kilometer dari rumah dengan hanya berjalan kaki. Kelihatan suasana masjid begitu sunyi dan gelap, hanya ada satu lampu suram di depan bangunan pintu utama dan selebihnya cahaya dari lampu jalan.

Saya agak gugup berdiri di depan masjid bila melihat suasananya. Sepi dan suram malam mula mempengaruhi diri dan perasaan. Bermacam-macam cerita mula terkeluar dari fikiran saya tanpa mampu dibendung.

Dalam masyarakat melayu, sejak dari saya kecil sudah diceritakan di tempat-tempat tertentu ada orang yang menjaganya iaitu penunggu atau jin, cuma di masjid dikatakan jin Islam yang menjaganya.

Hakikatnya teori dan realiti adalah dua perkara yang berbeza. Bersendirian pada waktu lewat malam berhampiran kuburan dalam suasana yang sunyi  membuatkan akal fikiran tidak mampu mengawal perasaan takut. Deria Rasa Keenam (Sixth Sense) mula wujud pada tahap ini. Bunyi-bunyi pelik mula hadir, imaginasi dari pandangan dalam keadaan samar dan rasa diperhatikan oleh makluk-makluk Tuhan yang lain, yang diketahui dan tidak diketahui. Beranikah saya?

Lama saya berdiri depan pagar untuk masuk tetapi tak juga masuk. Berbagai persoalan timbul seperti, apa rasionalnya untuk buat semua ini. Saya cuba mencari alasan yang kuat tetapi nampaknya alasan yang diberikan lebih kepada percubaan menangguhkan cita-cita.

Terimakasih atas sokongan anda, nantikan siri seterusnya...

No comments: