1. CINTA
Definasi
Cinta adalah sebuah emosi yang
lahir dari perasaan kasih sayang terhadap sesuatu. Falsafah mengatakan cinta
adalah sifat yang paling baik yang mewarisi semua kebaikan, rasa belas dan
kasih. Cinta dari sudut tindakan pula perlukan pengorbanan diri, mengikuti, mematuhi
dan bersedia melakukan apa saja demi yang dicintai.
Contohnya seorang lelaki yang
sukakan kekasihnya seorang perempuan dan begitu juga sebaliknya. Cinta bermakna
suka kepada sesuatu objek yang boleh disentuh dan ada yang tidak.
Cinta yang tidak boleh
disentuh itu seperti menyintai pencipta kehidupan dan alam semesta. Manusia
bermula dulunya mencipta objek seperti patung, lukisan, laut, matahari dan
selainnya untuk dicintai dan disembah. Mereka tahu objek yang mereka adakan itu
bukanlah tuhan sebenarnya melainkan katanya itu dewa-dewa yang cuba disentuh
dengan jiwa dan mereka mempercayai kepada semangat atau kuasa tertentu yang
akan memberi kebaikan dalam kehidupan mereka.
Pengalaman
Cinta
Semua orang di dunia ini pastinya pernah
merasai yang namanya cinta. Mungkin datangnya berbeza seperti menyintai Tuhan,
menyintai kedua ibubapa, menyintai teman, menyintai teman sejenis atau lawan
jenis. Cinta yang pastinya tidak boleh dilihat dengan mata namun boleh
dirasakan dengan hati. Yang jelas cinta boleh membuat orang rasa bahagia tetapi
banyak juga yang mendatangkan perasaan benci malah ada setengahnya
mengakibatkan malapetaka yang besar seperti yang kita biasa dengar manusia
bunuh diri kerana putus cinta dengan kekasihnya.
2. KESAN PUTUS CINTA
Putus Cinta
Saya
juga ada pengalaman dan episod cinta tersendiri semasa masih bujang. Soal
menyintai seseorang yang bernama lelaki dan perempuan. Proses ini selalunya
berlaku secara semulajadi atau dengan melalui sedikit usaha. Lumrahnya cinta
akan menghasilkan cita-cita yang sungguh murni dan rasa bahagia untuk kedua-duanya
hidup bersama sebagai pasangan suami isteri.
Masyarakat
umum melihat kisah permasalahan cinta sebagai perkara remeh, kebudak-budakan serta
tidak matang, malah ada sesetengahnya memandang serong. Tetapi kepada mereka
yang pernah atau sedang melalui episod putus cinta mengakui kesakitan psikologi
yang terpaksa ditanggung begitu berat.
Kesan
putus cinta sungguh mendalam sehingga boleh melumpuhkan diri mengakibatkan kita
tiada daya, putus asa dan tiada upaya berdepan dengan realiti. Tempoh pemulihan
kesan daripada putus cinta tidaklah dapat dijangkakan berapa lama, ada yang tak
mampu pulih dan akhirnya tak kahwin-kahwin hingga akhir hayat.
Seingat
saya dulu apabila saya putus cinta dan punah cita-cita untuk berkahwin dengan
seorang yang dicintai, apa yang berlaku:
Tak Boleh Tidur
Ketika
peristiwa ini baru saja berlaku, ya!! saya tak tidur walaupun untuk terlelap
seminit selama tiga hari. Saya masa itu masih muda sekitar awal 20an. Apalah yang
saya tahu melainkan melalui perhubungan yang suci dan merasakan bahagia,
selebihnya pelajaran dari itu tidaklah saya mengerti.
Semasa
di dalam bilik bersama doktor di sebuah klinik, saya berterus terang
menceritakan keadaan saya. Doktor hanya diam mendengar setiap patah perkataan
yang di sampaikan, raut wajah beliau seorang lelaki yang agak berumur ketika
itu menunjukkan sedih dan amat risau. Apakah mungkin doktor juga pernah melalui
detik itu cuma keadaan dan caranya mungkin berbeza.
Doktor
hanya diam dan tak banyak bercakap malah langsung tidak bertanya soalan, beliau
berikan saya dua biji tablet untuk makan bila sudah berada di rumah dan
melarang memandu selepas itu. Seingat saya doktor kata, saya sudah termakan
makanan yang beracun dan racun tersebut sudah menjalar ke seluruh darah di
dalam tubuh saya, bersabarlah dan banyaklah berdoa dan satu hari nanti racun
itu akan hilang sendirinya.
Kesihatan Terjejas
Kesal
dan kecewa, memendam rasa, marah, api kebencian serta sakit hati akhirnya
membawa kepada kesihatan yang mula semakin hari semakin membawa kepada
kemerosotan. Orang lain mungkin mudah memberi nasihat dan membuat percaturan
malah mudah mengatakan jangan kamu terlalu ikutkan hati, tetapi makanan beracun
yang sudah dimakan terlalu susah untuk dirawat apabila racunnya sudahpun larut
di dalam darah tubuh mangsanya. Berat sakitnya, mungkin seberat mangsa penagih dadah
jenis heroin.
Beban
dari emosi yang tergangu membuatkan saya susah untuk tidur di waktu malam dan
sudah tentu sukar pula untuk bangun di waktu awal pagi dan akhirnya belarutan
sehingga memudaratkan pula tubuh badan. Fizikal badan saya menjadi lemah dan
tidak sihat malah sukar untuk mula bangun membina kembali kesegaran dan tenaga,
kerana emosi saya yang sudah sakit. Keadaan ini akan lebih parah lagi khususnya
kepada kaum lelaki apabila mereka mula mengambil minuman keras dan dadah
sebagai jalan penyelesaian.
Kerjaya Terjejas
Masa
terus berlalu sementara kehidupan pula perlu diteruskan. Prestasi saya di
tempat kerja mula merosot sehingga merudum teruk dengan tidak datang bekerja
selama hampir sebulan tanpa sebarang alasan. Akhirnya kedatangan saya ke tempat
kerja disambut dengan sepucuk surat tunjuk sebab yang sudah pun lama menanti kedatangan
saya. Saya digantung kerja selama 2 minggu dengan ditetapkan tarikh
perbicaraan.
Alhamdulillah,
saya masih lagi diberi peluang oleh syarikat untuk bekerja dengan syarat
dipindahkan ke jabatan baru. Walaupun masih mampu menyambung sesuap nasi, jiwa
saya masih lagi sakit, bisa yang larut di dalam darah mengalir ke otak,
kusutnya hanya Tuhan yang tahu, hidup sudah dirasakan tidak bermakna lagi.
3. Kerisauan
Teringat Anak-Anak
Hari ini saya sudah mulai sedikit memahami dan turut merasa risau melihat terutamanya anak-anak saya yang kini sudah meningkat remaja, bimbang saya kalau-kalau mereka termakan makanan yang beracun. Walau apapun tidaklah saya ada kuasa dan daya untuk membendung semua itu melainkan berdoa agar anak-anak dibimbing oleh kuasaNya ke jalan kejayaan dan menjadi manusia yang berguna kepada masyarakat.
Anak-anak kecil mungkin tidak mengerti panasnya api walaupun berkali kali dilarang bermain dengannya sehinggalah percikan api menyentuh kulitnya. Perkataan kadang-kadang tak mampu sepenuhnya memahamkan kita melainkan setelah kita melaluinya dengan pengalaman.
Ada satu malam di kaca TV dimainkan filem Titanic, saya ketika itu melayan anak lelaki saya yang berumur 6 tahun. Saya memujuk dia untuk menonton cerita ini sebabnya anak saya belum pernah menontonnya, saya fikir ini peluang terbaik untuk dia melihat khayalan hidup. Ternyata dia sungguh menikmati filem tersebut.
Anak saya belum mahu tidur lalu saya tinggalkannya kerana bosan sebab sudah berulang kali dimainkan di tv dan masuk ke bilik sebelah untuk rehat dan tidur sambil memerhatinya melalui satu tingkap kecil.
Tidak berapa lama kemudian, dari satu sudut yang anak saya tidak perasan saya melihat air matanya bercucuran. Dia begitu sedih melihat Jack, hero dalam cerita tersebut mati setelah berjuang menyelamatkan kekasihnya yang sudah lemah dan hampir mati ketika menunggu anggota penyelamat sampai untuk memberikan bantuan setelah kapal yang mereka naiki karam di lautan akibat terlanggar gunung ais.
Saat melihat peristiwa itu terfikir saya akan dia bila menjadi dewasa kelak dan apa yang bakal dia tempuhi, hanya dengan Tuhan saja saya sangatlah bermohon semoga dia dijauhi makanan yang beracun.
Saya
berhenti di sini dahulu kerana ini ialah penulisan blog bukan novel, ikutilah artikel
seterusnya
Terima
kasih kerana membaca dan memberikan komen-komen yang membina dan cukup bermakna, jazakallah.
No comments:
Post a Comment